klik di sini :)

Friday, January 28, 2011

Gigi Cantik Serlah Senyuman Menawan



SEORANG pelawak di Indonesia meninggal dunia selepas mengalami sakit gigi yang teruk pada usia 43 tahun.

Setelah diperiksa dengan teliti, ia bukan sakit gigi biasa kerana selepas memakan ubat dan sakitnya reda, bengkak pada gusinya semakin membesar dan tiba-tiba sebelah kakinya dan tangannya lemah, tidak boleh bertutur dengan baik yang menunjukkan gejala strok.

Doktor yang merawatnya sejak awal lagi memberitahu pelawak malang ini sebenarnya menghidap barah otak yang sudah tersebar dan dipicu oleh giginya yang dijangkiti sama hingga akhirnya membawa kepada kematian.

Jangkitan di rongga mulut boleh menyebabkan pelbagai penyakit keradangan seperti radang sendi dan radang usus.

Kemajuan perubatan imunologi juga mengenal pasti bakteria rongga mulut menunjukkan jangkitan pada gigi boleh menyebabkan penyakit jantung dan pembuluh darah, penyakit paru-paru, kencing manis dan barah.

Ini jelas membuktikan gigi dan rongga mulut menjadi tempat asas pembiakan mikro organisma penyebab penyakit berpindah ke bahagian tubuh yang lain khususnya radang gusi dan jaringan pendukung gigi.

Bagi yang tidak mengetahui, di dalam mulut ada ratusan juta bakteria malah ada laporan berkata dalam setiap miligram plak gigi mengandungi 1,011 bakteria. Memanglah bukan semua bakteria dalam mulut membahayakan kerana sebahagian besarnya diperlukan untuk proses semula jadi normal.

Antara bakteria yang negatif ialah P. Gingivalis, B. Intermedius dan A. Actinomycetemcommitans yang dominan menyebabkan radang gusi dan radang sekitar hujung akar gigi hingga menjadi bengkak dan bernanah.

Sebab itu penjagaan gigi amat penting bukan saja untuk kesihatan yang baik tetapi juga memberi keyakinan diri yang tinggi apabila berkomunikasi dengan orang lain.

Penjagaan gigi dan gusi perlu bermula sebaik saja gigi bayi tumbuh. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka untuk menjaga gigi mereka supaya gigi mereka sihat dan tetap cantik setelah dewasa.

Seperti gigi kekal yang sepatutnya bertahan sepanjang hayat, gigi susu juga ada peranan yang penting untuk mengunyah makanan dengan sempurna, bercakap dengan jelas dan memupuk rasa harga diri yang baik.

Oleh itu adalah penting untuk melindungi anak anda dari kerosakan dan pereputan gigi susu yang menyakitkan.

Panduan Penjagaan Mulut-Baru lahir hingga 24 bulan 

1. Bersihkan mulut kanak-kanak dengan kain kasa atau kain selepas makan dan sebelum tidur.

2. Jangan biar bayi anda tertidur dengan botol susu di dalam mulutnya kecuali ia diisi dengan air kosong saja.

3. Berjumpa dengan doktor gigi apabila gigi pertama muncul atau jika gigi pertama tidak muncul setelah anak anda mencapai umur 1 tahun.

4. Gosok gigi dengan menggunakan berus gigi yang kecil dan lembut selepas makan dan sebelum tidur.

5. Teruskan mencuci bahagian dalam mulut yang lain dengan kain kasa atau kain.

6. Berbincang dengan doktor gigi atau pakar kanak-kanak mengenai tambahan florida.

Umur 2-6 tahun 

1. Ibu bapa perlu terus membersihkan mulut anak-anak dan membenarkan mereka mengambil bahagian berdasarkan minat dan kebolehan.

2. Mula ajar mereka menggunakan flos pada bahagian gigi yang rapat.

3. Berjumpa doktor gigi untuk pembersihan gigi secara berkala.

Umur 6-12 tahun 

1. Mula memindahkan tanggungjawab memberus dan flos gigi kepada kanak-kanak dengan pengawasan ibu bapa. Umur 8 tahun adalah purata umur kanak-kanak mampu memberus gigi sendiri, manakala flos gigi boleh dilakukan sendiri apabila mencapai umur 10 tahun.

2. Kanak-kanak harus memberus gigi menggunakan teknik dan jenis berus gigi yang disyorkan oleh doktor gigi mereka.

Kanak-kanak dari semua peringkat umur 

1. Tukar berus gigi setiap 3-4 bulan sekali.

2. Berus gigi dua kali sehari, iaitu selepas makan sarapan pagi dan selepas tidur.

1 comment:

  1. owh gigi kena jaga sentiasa, bermula dari si kecil lg..nice info ^_^

    Jom: Kalau Gerrard jadi Boss

    ReplyDelete